DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 227 kes positif Covid-19 dikesan di tiga kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) membabitkan bukan warga negara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 53 kes membabitkan warga Bangladesh, 41 kes warga India, 38 (Indonesia) dan 37 warga Myanmar.

"Selain itu, 28 kes membabitkan warga Pakistan, 17 (China), empat (Kemboja), tiga (Nepal) dan dua (Sri Lanka).

"Bagi warga Filipina, Libya, Mesir dan Syria masing-masing satu dikesan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, satu kluster baharu dikesan di DTI Sepang dengan 36 kes positif Covid-19.

"Sebanyak 1,449 sampel diambil setakat 12 tengah hari dan 36 kes positif Covid-19 dikesan yang mana 29 kes baharu dilaporkan hari ini, 540 negatif dan 873 sampel masih menunggu keputusan.

"Bagi kluster DTI Bukit Jalil, sebanyak 1,536 sampel diambil yang terdiri daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT) dan 114 kakitangan.

"Daripada jumlah itu, 126 kes adalah positif, 514 kes adalah negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, bagi kluster DTI Semenyih, sebanyak 1,757 sampel diambil yang terdiri daripada 1,630 OKT dan 127 kakitangan.

"Daripada jumlah itu, 66 kes adalah positif, 753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan sudah dijalankan misalnya aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

"Bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 dapat dikesan sepenuhnya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan tindakan seterusnya iaitu menggunakan pendekatan tertumpu misalnya siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak yang berkaitan.

"Saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif dan kes positif akan diisolasi dan dirawat di hospital, manakala kontak rapat akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:46 PM