KETUA Balai Polis Manir, Sarjan Major Roslan memberi nasihat kepada penghuni sebuah kediaman dalam pemeriksaan di Kampung Banggol Tok Esah, Manir. FOTO Ghazali Kori
KETUA Balai Polis Manir, Sarjan Major Roslan memberi nasihat kepada penghuni sebuah kediaman dalam pemeriksaan di Kampung Banggol Tok Esah, Manir. FOTO Ghazali Kori


POLIS terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sambutan Aidilfitri di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, walaupun aktiviti kunjung-mengunjung hanya dibenarkan pada hari raya pertama, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan di kampung dan taman bagi memastikan penduduk tidak melanggar SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Walaupun kunjung-mengunjung dibenarkan pada hari raya pertama saja namun, kita percaya ada masyarakat yang curi-curi melakukan aktiviti itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, anggota dan pegawai dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan kampung dan taman perumahan di seluruh negeri sepanjang pelaksanaan PKPB.

"Memasuki hari ketiga Aidilfitri, polis dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela sudah melakukan pemantauan di 44 kampung di seluruh negeri.

"Sebanyak 15 rumah diperiksa dan tujuh daripadanya diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup mulut dan hidung dan penjarakan sosial," katanya.

Katanya, selain kampung dan taman perumahan, pemantauan dilakukan di tempat tumpuan awam seperti kawasan pantai, taman rekreasi, pusat membeli-belah dan institusi kewangan.

Bagi kesalahan rentas negeri pada Aidilfitri, beliau berkata, pihaknya berpuashati dengan pematuhan yang ditunjukkan masyarakat negeri ini.

Roslee berkata, sebanyak lapan SJR dilaksanakan di seluruh Terengganu dengan empat di Besut, tiga di Kemaman dan satu di Hulu Terengganu.

Katanya, jumlah kenderaan yang melalui jalan utama di negeri ini ketika musim perayaan juga berkurangan berbanding sebelum ini.

"Sehingga kini belum ada kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh perayaan.

"Hampir semua kenderaan yang melalui SJR terutama orang awam mempunyai surat kebenaran atau permit untuk bergerak keluar masuk sempadan," katanya.

Bagaimanapun katanya, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang degil dan sengaja tidak mematuhi arahan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 12:12 PM