ROKOK bersama tangkapan dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut. FOTO Juwan Riduan
ROKOK bersama tangkapan dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG lelaki ditahan bersama 42 kotak mengandungi 42,000 batang rokok seludup yang disembunyikan di dalam van di Kampung Padang Berampah, di Sipitang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika beliau bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 pihaknya menerima maklumat berkaitan van dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan polis berjaya mengesan van berkenaan di rumah tidak bernombor di Kampung Berampah sebelum mendapati suspek berada dalam premis itu.

"Lelaki itu kemudian mengakui yang van berkenaan miliknya. Pemeriksaan dijalankan menemui 42 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama tanpa cukai kastam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, tangkapan berusia 44 tahun bersama rokok dibawa ke IPD Sipitang untuk siasatan lanjut kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok seludup.

"Siasatan awal mendapati semua rokok dirampas itu adalah barang larangan import yang tidak membayar cukai. Pemeriksaan lanjut mendapati, 42 kotak itu mengandungi 42,000 batang rokok pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Mohon orang ramai khususnya warga Sipitang supaya menyalurkan maklumat kepada polis mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 1:20 PM