ANTARA yang ditahan dalam operasi mat rempit di sekitar daerah Marang. FOTO ihsan Polis
ANTARA yang ditahan dalam operasi mat rempit di sekitar daerah Marang. FOTO ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


SEKUMPULAN mat rempit yang asyik menguji kelajuan motosikal bertempiaran lari sehingga ada yang sanggup meninggalkan motosikal selepas port mereka melepak diserbu polis, semalam.

Dalam serbuan berasingan di kawasan Binjai Rendah dan Mak Kemas serta Pantai Kelulut, Marang itu, polis menyita 19 motosikal termasuk tiga motosikal 'sprint test'.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan aduan mengenai kehadiran kumpulan berkenaan berusia antara 16 hingga 23 tahun yang dipercayai berkumpul menjalankan aktiviti tidak sihat di situ.

Katanya, serbuan pertama di kawasan Binjai Rendah dan Mak Kemas berjaya menyita tiga motosikal 'sprint test' dengan dua lelaki ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 5 pagi itu, sebanyak 18 keping saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan trafik seperti tidak mempunyai lesen, cermin sisi dan ubah suai kenderaan.

"Pada operasi berasingan di Pantai Kelulut bermula jam 6 petang hingga 8 malam, sebanyak 16 motosikal disita dengan 33 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, kumpulan mat rempit yang ketika itu asyik mencuba 'power' motosikal segera melarikan diri sehingga ada yang sanggup meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak dicekup.

Katanya, operasi dijalankan susulan aduan penduduk setempat yang tidak selesa dengan kehadiran kumpulan berkenaan yang berkumpul melakukan aktiviti tidak sihat.

"Selain operasi mat rempit, kita turut mengadakan Op Topi Keledar, Op Lampu Isyarat dan Op Motosikal bagi memastikan penduduk di daerah ini memastikan undang-undang lalu lintas.

"Kita pandang serius isu rempit ini dan tindakan tegas akan diambil kerana aktiviti ini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 1:30 PM