GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Roji Kawi


TINDAKAN kompaun menanti orang ramai termasuk penjawat awam yang berjaya curi-curi balik kampung untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini, apabila mereka kembali semula ke bandar selepas perayaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya membuat pemeriksaan teliti terhadap semua kenderaan yang merentasi daerah untuk balik semula ke bandar.

Katanya, mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu seronok selepas menyambut perayaan di kampung, kerana sekatan jalan raya kini diperketatkan untuk mengesan mereka yang melanggar perintah berkenaan.

"Apabila balik semula ke bandar, mereka tidak akan diarah berpatah balik, tetapi akan terus dikompaun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidi berkata, sepanjang dua hari Aidilfitri, sebanyak 140 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana cuba merentas daerah tanpa kebenaran polis.

Menurutnya, dalam tempoh pihaknya sudah mengeluarkan 38 kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu di seluruh Sarawak.

"Pada hari pertama Aidilfitri sebanyak 101 kenderaan berpatah balik dan 23 kompaaun dikeluarkan, manakala hari kedua semalam pula sebanyak 39 kenderaan diarahkan berpatah balik dan 15 kompaun dikeluarkan," katanya.

Aidi berkata, tindakan itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sepanjang PKPB.

Katanya lagi, pemeriksaan kini diperketatkan di semua sekatan jalan raya antara daerah di seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 1:38 PM