ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri pada sidang media harian PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENGKRITIK tindakan keras terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu sedar keputusan dibuat kerajaan demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada negara di dunia memberi kebebasan kepada warga asing yang datang tanpa mematuhi undang-undang sesebuah negara.

Menurutnya, mereka yang mengkritik disifatkan sebagai tidak faham kepada undang-undang dan perlu melihat tindakan kerajaan menangkap PATI ini dalam konteks yang lebih luas.

Katanya, jangan hanya disebabkan alasan hak asasi kerajaan perlu berkompromi dengan PATI yang secara terang melanggar undang-undang.

"Apa akan berlaku jika kerajaan tidak menahan PATI, dalam masa sama mereka positif Covid-19 yang boleh menjangkiti orang lain dan rakyat tidak bersalah akan jadi mangsa.

"Tindakan kerajaan jelas untuk menjaga kepentingan majoriti rakyat Malaysia yang patuh dan biarkan rakyat dalam bahaya," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PATI yang positif akan dikuarantin dan dirawat sebelum dihantar pulang ke negara asal selepas itu.

Katanya, bagi PATI yang berada di depoh tahanan dan negatif pula, kerajaan akan mengaturkan penghantaran pulang dengan kerjasama kedutaan negara masing-masing.

"Kerajaan tidak akan tunduk atas apa juga desakan mereka terhadap PATI kerana keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan," katanya.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, agensi keselamatan giat menahan PATI di lokasi tumpuan seluruh negara kerana bimbang golongan itu menjadi penyebar pandemik maut di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 4:50 PM