Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN masih kekal dengan keputusan aktiviti ziarah hanya dibenarkan pada hari pertama Aidilfitri saja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, keputusan itu tidak dipinda dan mereka yang melakukan ziarah selepas hari raya pertama dianggap melanggar undang-undang.

"Prosedur operasi standard (SOP) hanya benarkan pada hari raya pertama dengan tidak melebihi 20 orang. Tiada ziarah untuk hari seterusnya walaupun kebiasaan raya disambut sebulan.

"SOP kerajaan jelas dan mereka yang menziarahi selepas itu akan dikompaun kerana menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, polis mengeluarkan 387 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, daripada 102 kompaun yang dikeluarkan, 31 kompaun kerana kesalahan ziarah Aidilfitri, manakala 285 kompaun dikeluarkan di lapangan.

"Saya tahu ramai anggap keras tindakan polis jika beri kompaun tapi dari keseluruhan pematuhan rakyat Malaysia adalah 95 peratus.

"Jumlah yang ingkar amat kecil dan ingin diingatkan rakyat perlu patuh pada undang-undang dan tindakan tegas akan dilakukan oleh polis," katanya.

Beliau berkata, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan kerana kerjasama dan kawalan kendiri amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini.

Tambahnya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 4:51 PM