ANTARA ‘kaki pancing’ yang dikompaun kerana melanggar SOP PKPB. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
ANTARA ‘kaki pancing’ yang dikompaun kerana melanggar SOP PKPB. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Md Fuzi Abd Lateh


SERAMAI 59 pemancing termasuk dua pekerja sebuah kolam pancing ikan air tawar di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu dikompaun masing-masing RM1,000 semalam kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .

Kompaun dikeluarkan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Hulu Selangor yang melakukan serbuan mengejut ke kolam itu.

Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan, pemilik kolam tidak berada di situ bagi memberikan penjelasan terperinci mengenai kesalahan dilakukan itu.

Katanya, hanya dua pekerja dipercayai warga negara asing yang menjaga dan menguruskan kemasukan pemancing ke kolam itu.

"Polis dapati pemilik kolam ini menyediakan nombor giliran dan menandakan kotak khas penjarakan sosial antara pemancing beratur masuk.

"Namun pemilik kolam didapati melanggar SOP yang ditetapkan kerana lebih 20 pemancing berkumpul di kawasan kolam pada ketika serbuan polis itu," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, ramai kaki pancing dari Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berkunjung ke kolam itu pada hari raya kedua untuk melepaskan 'gian' memancing.

Seorang pemancing yang mahu dikenali sebagai Amin berkata, dia antara yang dikenakan kompaun RM1,000.

Katanya, mereka yang berada di situ amat terkejut apabila ramai pemancing dibenarkan masuk dalam suatu masa.

"Saya memegang nombor giliran ke-10 untuk masuk memancing di kolam ini. Namun belum sempat lagi memancing, saya sudah disaman.

"Pemancing, dua pekerja dan dua orang awam disaman polis kerana berada di lokasi kejadian pada ketika itu," katanya.

Dia berkata, semua yang disaman perlu melunaskan bayaran RM1,000 di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor selewat-lewatnya 8 Jun ini.

Katanya, pemilik kolam pancing turut dikompaun Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana melanggar arahan PKPB ini.

"Saya akan membuat rayuan di PKD esok bagi memohon meringankan denda yang dikenakan atas kesalahan itu.

"Kejadian ini cukup memberi pengajaran kepada saya ketika umat Islam masih meraikan sambutan Aidilfitri di rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:45 PM