Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri sedia mempertimbang membuka kembali konsesi balak bagi mengelak membayar tuntutan hampir RM1 bilion dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, berkata syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri menggazet Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Jelasnya, beliau difahamkan terdapat 40 konsesi balak membuat tuntutan ganti rugi susulan arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan tahun lalu.

"Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

"Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat dan cadangan Jabatan Perhutanan terlebih dahulu supaya ekosistem alam terus dipelihara.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dalam usaha menjaga kawasan tadahan air yang sudah digazet oleh kerajaan terdahulu.

"Kerajaan negeri dalam mesyuarat EXCO sebelum ini sudah menambah saiz kawasan yang digazet sebagai kawasan tadahan air, kita menyokong tindakan yang diambil kerajaan terdahulu.

"Selepas ini kita akan dapat kebenaran Jabatan Perhutanan supaya kita mematuhi peraturan, kawasan sensitif berhampiran kawasan tasik, empangan yang berpotensi untuk menghasilkan pencemaran menganggu penduduk tidak akan diusik," katanya.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri membatalkan semua konsesi balak di Ulu Muda bertujuan memulihara khazanah alam, walaupun terpaksa kehilangan hasil puluhan juta melalui aktiviti pembalakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:58 PM