Siti Rohana Idris


PERSIAPAN seorang peniaga untuk kembali mencari rezeki dengan berniaga nasi kerabu musnah selepas dua unit kedainya di Pasir Pekan terbakar, kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Pemiliknya, Nor Azma Abdul Kadir, 53, berkata dia dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan kedainya terbakar.

Ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Bukit, Wakaf Bharu dan bergegas ke lokasi sebelum mendapati api marak memusnahkan kedainya itu.

"Sepatutnya hari ini saya mula berniaga namun selepas menghubungi pembekal ayam dan ikan yang memberitahu bekalan tiada, saya mengambil keputusan menunda perniagaan ke esok hari.

"Pagi tadi pun saya sudah datang melihat keadaan kedai namun tiada apa-apa yang tidak kena sebelum dihubungi pemilik bengkel kereta di sebelah kedai mengenai kebakaran ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nor Azma berkata, dia dan semua pekerja sentiasa berwaspada dan memeriksa sebarang punca api serta suis sebelum menutup kedai setiap kali selepas operasi perniagaan.

"Bagaimanapun malang tidak berbau dan saya mengagak kejadian ini berpunca daripada litar pintas," katanya yang sudah mengusahakan perniagaan nasi kerabu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 petang dan jentera pertama dari BBP Wakaf Bharu tiba pada jam 3.53 petang.

"Kebakaran membabitkan empat premis lot kedai yang mana dua daripada mengalami kemusnahan 80 peratus manakala dua lagi 20 peratus.

"Seramai 35 anggota dan pegawai terbabit daripada BBP Wakaf Bharu, Tumpat, Kota Darul Naim, Tunjong terbabit dalam operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.16 petang," katanya sambil memberitahu punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Nor Azma, terkejut melihat sebahagian premisnya hangus dalam kebakaran di Pasir Pekan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Nor Azma, terkejut melihat sebahagian premisnya hangus dalam kebakaran di Pasir Pekan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Seorang lagi mangsa, Wee Chong Kiu, 53, berkata dia menyedari kedai nasi kerabu di sebelah bengkelnya terbakar apabila ternampak asap keluar dari lubang angin premis itu disertai bau hangus.

"Tanpa membuang masa saya segera melarikan empat kereta pelanggan yang berada di hadapan bengkel kerana bimbang akan hangus disebabkan api marak dengan cepat.

"Saya juga segera menghubungi pemilik kedai dan pihak bomba tiba tidak lama kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 7:01 PM