GAMBAR hiasan. FOTO ihsan PDRM
GAMBAR hiasan. FOTO ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


POLIS terus menjalankan pemantauan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sambutan Aidilfitri di seluruh negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kerajaan memberi kelonggaran menziarahi saudara mara hanya pada hari pertama Aidilfitri iaitu hanya terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat selain perlu mengamalkan jarak sosial.

Katanya, pada hari kedua sambutan Aidilfitri, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 152 rumah membabitkan bilangan penghuni asal seramai 729 orang dan rentas negeri hanya tiga orang sahaja.

"Daripada pemeriksaan dilakukan, tiada kompaun atau tangkapan dibuat terhadap penghuni terbabit dan sekiranya mendapati masih ada yang ingkar, kami akan mengambil tindakan tegas dan tidak ada sebarang kompromi.

"Saya juga ingin menasihatkan supaya penduduk di negeri ini tidak mengadakan sebarang majlis atau menjemput rakan serta saudara mara terdekat pada hari raya kedua dan ketiga.

"Sebolehnya terus kekal berada di rumah masing-masing dan mematuhi arahan PKPB demi kebaikan bersama," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, pasukan pemantau turut membuat pemeriksaan sebanyak 390 kenderaan di kediaman manakala di sekatan jalan raya (SJR) pula membabitkan pemeriksaan ke atas 6,511 kenderaan.

"Bagi kenderaan merentas daerah, sebanyak 79 kenderaan yang diperiksa di kediaman dan 5,043 di SJR manakala rentas negeri pula membabitkan tiga kenderaan di kediaman dan 1,468 buah kenderaan ketika SJR.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB, sebanyak 10 SJR dikekalkan di negeri ini membabitkan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa," katanya.

Abdullah berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehinggalah PKPB yang dikuatkuasakan pada 4 Mei lalu sehingga semalam, 926 tangkapan dibuat membabitkan individu melanggar PKP yang kebanyakannya berusia antara 19 hingga 30 tahun.

"Kesemua mereka ditangkap melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama.

"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 137 kompaun dikeluarkan dan kes disiasat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan kerana merentas negeri tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai penjaga daerah atau pegawai penjaga balai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 9:28 PM