Oleh Rosyahaida Abdullah


PERNAH diberi jolokan Rumah Degil susulan bertahan hampir 90 tahun di tapak asal, Rumah Pusaka Chow Kit (RPCK) kini dibangunkan semula di pekarangan Balai Seni Negara bagi menjaga binaan rumah tradisional Melayu itu yang menyimpan 1001 cerita dan kenangan.

Menjadi tempat berteduh untuk sekurang-kurangnya lima generasi, cerita RPCK dikongsi lapisan keenam pengasas Kuala Lumpur iaitu Sutan Puasa, Nora Salleh, 56.

Menurut Nora, walaupun ramai beranggapan ibunya, Normah Majawali sebagai pewaris yang menolak pembangunan di tapak rumah terbabit, realitinya bukan begitu.

Sebaliknya, kata Nora, Normah yang turut dikenali dengan panggilan Nenek Normah oleh masyarakat sekitar Chow Kit itu hanya mendiami rumah berkenaan bagi menemani ibu saudaranya yang tidak berkahwin.

"Rumit juga sebenarnya untuk memahami susur galur keluarga kami, tetapi saya boleh ringkaskan, ibu saya (Nenek Normah) adalah generasi keempat Sutan Sinombar dan Sutan Sinombar adalah anak saudara kepada Sutan Puasa.

"Selepas bapa saya meninggal dunia pada 1972, ibu saya memutuskan untuk pulang semula ke rumah berkenaan dan tinggal bersama ibunya yang juga nenek saya, Sariah Jaafar. Jaafar adalah anak kepada Sutan Sinombar.

"Ketika itu, adik nenek saya iaitu Batiah turut tinggal di situ kerana rumah itu memang diwariskan kepada mereka. Selepas nenek saya meninggal dunia sekitar 90-an, rumah itu didiami oleh ibu saya dan ibu saudaranya itu (Batiah)," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, baru-baru ini.

Nora menjelaskan tidak dinafikan pelbagai pihak datang memujuk Nenek Normah dan Batiah supaya menjual lot rumah terbabit bagi tujuan pembangunan.

Katanya, walaupun turut mewarisi sebahagian pusaka rumah bernombor 41 itu, Nenek Normah menyerahkan semua keputusan kepada Batiah memandangkan Batiah lebih tua.

"Batiah mengambil keputusan mempertahankan rumah itu kerana dia memegang pesanan arwah bapanya yang melarang mereka menjual rumah itu walau apapun terjadi.

"Apabila Batiah meninggal dunia pada 2006, ibu saya bertegas untuk terus tinggal di situ disebabkan banyak kenangan dan sebagainya sebelum dia secara sukarela berpindah keluar dan tinggal bersama saya di Putrajaya pada 2009.

"Sepanjang tinggal di Putrajaya, ada juga kami pergi ke rumah itu untuk kemas apa yang patut sehinggalah lama-kelamaan ibu saya sukarela lepaskan (RPCK)," katanya.

Jelas Nora, dia sangat berterima kasih kepada sekumpulan individu yang berusaha membuka rumah berkenaan dengan berhati-hati untuk dipindahkan ke tempat lain bagi memastikan rumah tradisional Melayu itu tidak lenyap begitu saja.

Menurutnya, selepas ibunya meninggal dunia Julai tahun lalu, ia sekurang-kurangnya dapat mengimbau kenangan membesar di RPCK bersama tiga lagi adik-beradiknya.

Sementara itu, Penolong Kurator Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara Haniff Ayub berkata, penyelenggaraan bagi RPCK yang dibangunkan semula di tapak Balai Seni Negara itu dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Warisan Negara.

Menurutnya, pihak Balai Seni Negara hanya bertindak sebagai penyedia tempat untuk membolehkan binaan berasaskan kayu tradisional itu terus dipelihara.

"Secara kasarnya, dianggarkan 70 peratus binaan rumah ini menggunakan bahan asal manakala selebihnya ditukar disebabkan sudah reput, pecah dan sebagainya.

"Jika dilihat di bahagian dalam rumah, memang tiada pembahagi untuk bilik kerana asalnya pun pembahaginya menggunakan tirai saja. Reka bentuk dikekalkan hampir 100 peratus.

"Apa yang kami faham rumah ini belum diwartakan sebagai warisan lagi tetapi ia memang milik Jabatan Warisan Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:00 AM