ANTARA penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Norsyazwani Nasri
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


SERAMAI 25 individu termasuk seorang anggota polis dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Simunjan, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pada 2 petang semalam, sepasukan anggota polis yang menjalankan pemantauan di Kilometer 1, Jalan Tun Openg, Simunjan memeriksa sekumpulan penunggang motosikal.

"Seramai 25 individu menunggang motosikal dari arah Pasar Simunjan menghala ke Kampung Nanas, Simunjan.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka yang datang dari Kota Samarahan gagal memberi alasan munasabah masuk ke daerah Simunjan tanpa surat kebenaran polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Mereka mengaku hanya bersiar-siar dari Kota Samarahan ke Simunjan kerana sudah lama tidak menunggang motosikal.

"Antara yang dikompaun adalah seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan," katanya.

Katanya, selesai urusan mereka semua diarahkan balik ke Kota Samarahan melalui Jambatan Sadong.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 12:03 PM