Baharom Bakar


LAPAN individu dikompaun kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bermain futsal, awal pagi tadi.

Individu berusia antara 15 hingga 20 tahun itu yang datang dari beberapa kampung di Kuala Berang dikesan bermain futsal di Binjai Kertas, Hulu Terengganu kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kumpulan itu pada mulanya melarikan diri dan meninggalkan motosikal masing-masing di luar gelanggang futsal selepas menyedari kehadiran polis.

Menurutnya, mereka turut meninggalkan barangan peribadi seperti telefon bimbit.

"Anggota kemudiannya membawa motosikal terbabit ke Balai Polis Kuala Berang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun lapan individu terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 1 pagi tadi," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Adli berkata, mereka kemudiannya dikompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7 (1), Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Nombor 6 (Pindaan 2020).

"Mereka boleh didakwa di mahkamah tanpa sebarang notis jika gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 12:20 PM