Mohd Rafi Mamat


ISTERI kepada mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian Isnin lalu, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa suaminya.

Menurut Zeti Haryanti Hassan, 42, dia berharap kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol dengan menambah baik undang-undang dan peraturan berkaitan.

Harapan itu katanya supaya nasib keluarga mangsa seperti dia alami dapat dibela dengan sewajarnya.

"Saya berharap sungguh biarlah suami saya ini mangsa yang terakhir, jangan ada lagi selepas ini. Walaupun nyawa dibalas dengan nyawa sekali pun ia tidak mampu kembalikan suami saya.

"Saya sedih atas apa yang berlaku namun reda dengan kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Al Raudah Baru, di sini, hari ini.

Suaminya, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian jam 9.20 malam, Isnin lalu.

Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 4.30 petang selepas disolatkan di Masjid Al Raudah di sini.

Beliau meninggalkan seorang isteri serta dua anak Puteri Nur Qistina Irwan Herman, 14, dan Amanda Nur Fitrisya, 8.

Zeti Haryanti yang masih trauma dengan pemergian suaminya berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian ini dan meminta semua pengguna jalan raya bertanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain.

"Apabila kita memandu, kita berhati-hati dan perlu bertanggungjawab. Perlu ingat ada nyawa orang lain dan bukan nyawa kita sendiri.

"Saya sangat sedih atas apa yang berlaku, petang sebelum kejadian kami sempat berbual macam biasa. Sebelum keluar bekerja kebiasaannya arwah suami akan beritahu saya dahulu.

"Saya akan cium tangannya dan dia cium dahi saya tapi itu tak berlaku pada hari kejadian. Dia terus pergi kerja mungkin nak cepat. Kalaulah kita tahu kan... mungkin tak bagi dia pergi kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 8:27 PM
Sakiah Mohd Nor, 58, menyiram air mawar di pusara arwah anaknya yang terkorban pada kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk, malam kelmarin. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Sakiah Mohd Nor, 58, menyiram air mawar di pusara arwah anaknya yang terkorban pada kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk, malam kelmarin. FOTO MOHD RAFI MAMAT