Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Rosyahaida Abdullah


SUHU badan yang tinggi bukan penentu sepenuhnya seseorang itu dijangkiti Covid-19 disebabkan ia hanyalah satu daripada beberapa gejala nyata yang tidak pun dialami oleh segelintir pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam mengukur suhu badan, suhu normal yang sepatutnya direkodkan adalah antara 36.6 hingga 37.2 darjah celsius dan penggunaan termometer membolehkan seseorang itu dikesan jika mengalami demam.

Bagaimanapun, katanya, merujuk kepada konteks gejala Covid-19, demam hanyalah satu daripadanya yang biasa diketahui umum selain batuk, selsema, cirit-birit dan sesak nafas.

"Ada kalanya, kita tidak perasan (sedar) dengan kewujudan beberapa gejala lain seperti keletihan, kelesuan, dan hilang deria bau serta rasa.

"Bagi golongan yang mengalami gejala ini, jika suhu diambil sekalipun, ia tidak memberi kesan mereka tidak menunjukkan gejala yang lebih nyata seperti demam, batuk dan sebagainya," katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pada mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tempoh hari, pegawai terbabit yang positif Covid-19 ketika hadir ke mesyuarat tiada gejala nyata seperti demam, batuk, sesak nafas ataupun selsema, sebaliknya hanya bergejala kelesuan.

"Ini yang perlu kita pastikan. Walaupun kita mempunyai mesin dan peralatan untuk mengambil suhu, tidak semestinya suhu yang normal itu menunjukkan kita tiada gejala.

"Namun, jika mesin (termometer) menunjukkan ada gejala (demam), jangan keluar rumah langsung. Gunakan peralatan terbabit mengikut kaedah penggunaan yang betul untuk dapatkan suhu yang tepat," katanya

Terdahulu, beliau ditanya wartawan mengenai penggunaan termometer yang betul bagi mendapatkan suhu sebenar dalam mengesan gejala Covid-19 susulan terdapat perbezaan suhu yang diambil menggunakan peranti itu.

Mesyuarat pasca Kabinet di Jabatan Perdana Menteri minggu lalu menyebabkan semua ahli mesyuarat diarah menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari susulan seorang daripada pegawai disahkan positif Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir pada mesyuarat itu turut menjalani kuarantin sama ketika ini.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, ujian swab kedua akan dibuat pada hari ke-13 kuarantin dan sekiranya keputusan negatif, kesemua mereka akan dibenarkan bertugas semula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 9:37 PM