X
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan di lokasi sebelum melakukan Operasi Mencari dan Menyelamat. FOTO ZAID SALIM
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan di lokasi sebelum melakukan Operasi Mencari dan Menyelamat. FOTO ZAID SALIM


TIGA beradik dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, jam 6.30 petang tadi.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, semua mangsa lelaki, Umar Iskandar Mohd, 21; Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim Mohd, 15, yang tinggal berhampiran sungai berkenaan dikatakan ke sungai itu pada jam 6 petang.

Katanya, kejadian disedari empat lelaki yang memancing di tebing Sungai Kampung Mesah yang terletak di seberang sungai tempat berlaku kejadian.

"Empat pemancing mendakwa nampak mangsa mandi dan tidak lama kemudian saksi terdengar suara meminta tolong sebelum ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, saksi mendapati mangsa sudah hilang," katanya.

Katanya, bapa mangsa yang ke lokasi kejadian mengesahkan semua mangsa adalah anaknya berdasarkan pakaian dan telefon bimbit yang ditinggalkan di tebing sungai.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 10:23 PM