X
LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Zuhainy Zulkiffli


DUA beradik yang ditemui lemas di kolam ikan tapak kawasan stor sebuah projek perumahan di Bandar Baru Air Putih di Balik Pulau, tengah hari ini sempat bersarapan sebelum bermain di kolam berkenaan.

Ibunya berusia 33, yang juga warga Indonesia turut berpesan kepada dua kanak-kanak terbabit supaya tidak bermain di kolam buatan sendiri itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan berkata, dua beradik itu dikenal pasti sebagai Nurul Radha, 5, dan adiknya, Muhamad Rafil, 4.

Katanya, ibu mangsa mendakwa kedua-dua anaknya memberitahu mahu bermain di sekitar kawasan berkenaan sebelum wanita terbabit tertidur berikutan mengalami pening kepala.

"Hanya selepas terjaga daripada tidur kira-kira 12.30 hari, ibu mangsa mendapati kedua-anaknya masih belum pulang ke rumah sebelum dia bergegas keluar mencari.

"Kedua-dua kanak-kanak itu kemudian ditemui lemas di kolam berkenaan dalam keadaan terapung," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, kedua-dua mangsa dikeluarkan dari kolam berkenaan oleh wanita terbabit dengan dibantu suaminya yang tiba tidak lama kemudian.

Mereka kemudian menghubungi polis dan Hospital Balik Pulau bagi mendapatkan bantuan selepas didapati kedua-dua anaknya sudah tidak bernyawa.

"Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah tapak kawasan stor penyimpanan jentera pengorek sebuah projek perumahan.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa didapati tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira 1.15 petang dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 11:02 PM