X
Gambar hiasan
Gambar hiasan


TIADA kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di pusat beli-belah terkemuka di Johor Bahru sebagaimana tular di media sosial.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan berita tular itu dan menyatakan pihaknya tiada mengeluarkan arahan membuat saringan Covid-19 kepada pengunjung pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, orang awam diminta tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

"JKNJ sebelum ini ada membuat penutupan pusat beli-belah itu disebabkan tidak mematuhi prosedur mengikut standard yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) (no 5) 2029 dalam Peraturan 11 P.U (A) 136/2020.

"Bagaimanapun, tiada kes Covid-19 dikesan di pusat beli-belah itu. JKNJ juga tidak mengarahkan pengunjung pusat beli-belah berkenaan untuk membuat saringan Covid-19 seperti yang tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JKNJ, malam ini.

Dr Aman mengingatkan penyebaran berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 11:47 PM