Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN belum menerima maklumat berhubung dakwaan kematian 10 rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat yang berpunca daripada Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pagi tadi pihaknya sudah menyemak dengan Wisma Putra dan Kementerian Luar dan setakat ini belum menerima maklumat itu sama ada ia benar berlaku atau tidak.

Menurutnya, Wisma Putra sedang menyiasat perkara ini dan beliau menasihati rakyat yang berada di luar negara mempunyai sebarang masalah, boleh berhubung dengan pejabat kedutaan segera.

"Jika kes kematian ini, Kementerian Luar masih belum mendapat maklumat rasmi dan sedang menyiasat dakwaan itu.

"Jika rakyat di luar negara ada menghadapi masalah saya ingin pesan supaya hubungilah pejabat kedutaaan di sana dan mereka pasti membantu," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu satu laporan berhubung dakwaan mengenai kematian 10 orang rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat yang berpunca daripada Covid-19.

Laporan yang sama mendakwa bahawa terdapat seramai 30 orang rakyat Malaysia turut dijangkiti oleh pandemik itu.

Sementara itu Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sehingga kini Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana agensi kerajaan yang terbabit berhubung rakyat Malaysia yang dijangkiti atau meninggal dunia akibat

pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York sentiasa memantau perkembangan wabak ini terutamanya bagi kes membabitkan rakyat Malaysia.

"Dalam hal ini, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sering berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang bertanggung jawab dalam pengurusan pandemik Covid-19 ini bagi memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diterima.

"Berdasarkan prosedur pihak berkuasa tempatan, sebarang kematian yang membabitkan warganegara asing akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat kepada Pejabat Perwakilan Asing di sana, selepas kesahihan sesuatu kes itu diperolehi," katanya.

Kementerian Luar Negeri menasihatkan supaya rakyat Malaysia di luar negara untuk berhubung dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya terdapat kesangsian mengenai maklumat berhubung situasi rakyat Malaysia di luar negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:02 PM