Polis mengadakan pemeriksaan ke atas 11 individu yang didapati berhimpun dan melepak sambil menikmati pemandangan laut di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Polis mengadakan pemeriksaan ke atas 11 individu yang didapati berhimpun dan melepak sambil menikmati pemandangan laut di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


TINDAKAN melepak sambil menikmati pemandangan laut di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Butterworth membawa padah buat 11 individu apabila ditahan, malam tadi.

Kesemua mereka dikompaun RM1,000 selepas didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mereka terdiri sembilan lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan dalam operasi antara 8 malam hingga 10.45 malam.

"Terdapat lagi individu masih berdegil apabila mereka melepak dan berbual seolah-olah tidak apa berlaku, tetapi perbuatan itu salah.

"Justeru, polis menahan kesemua mereka terdiri daripada 11 individu dan mengeluarkan kompaun kerana ingkar pada PKPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi itu diadakan selepas polis menerima laporan dan aduan daripada pengguna lebuh raya berkenaan.

Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Orang awam diminta menyalurkan maklumat jika ternampak mereka yang tidak patuh dan menjalankan aktiviti terlarang bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:04 PM