ISTERI kepada mangsa maut dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian Isnin lalu, Zeti Haryanti Hassan tidak menyangka akan menerima pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Zeti Haryanti, 42, berterima kasih kepada Perkeso yang membantu dalam urusan pembayaran pencen menerusi Skim Faedah Orang Tanggungan (FOT).

"Skim FOT ini sangat bermakna buat saya serta dua anak perempuan walaupun kehilangan arwah, dia pergi tetapi tidak pergi kosong kerana meninggalkan pencen yang dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi selepas kami kehilangannya," katanya.

Zeti Haryanti ditemui di majlis penyerahan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 di Taman Guru, Kuantan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda.

Hadir sama Pengarah Perkeso Pahang Tarmizi Mukhtar dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid.

Isnin lalu, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian pada 9.20 malam.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta dua anak Puteri Nur Qistina Irwan Herman, 14, dan Amanda Nur Fitrisya, 8.

Bagi Nur Qistina, dia akan berpegang kepada pesanan arwah bapanya untuk menjadi anak yang baik dan solehah.

"Kakak sangat sayang pada abah dan berjanji akan belajar dengan rajin kerana kami semua sayangkan abah. Semoga abah tenang di sana," katanya.

Sementara itu, Tarmizi berkata, waris Allahyarham Irwan Herman layak mendapat pencen berdasarkan maklumat daripada majikannya bahawa arwah dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Sebaik menerima maklumat berhubung kematian arwah, Skuad Perkeso Prihatin melakukan semakan dan mendapati waris layak menerima pencen berkenaan.

"Diharapkan pencen yang diterima ini dapat meringankan beban perbelanjaan warisnya," katanya.

  • Maut dirempuh pemandu mabuk lawan arus

  • Saya mahu keadilan untuk arwah suami - Zetti Haryanti

  • Biarlah suami saya mangsa akhir pemandu mabuk [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:27 PM
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda (kanan) menyerahkan replika cek daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Zeti Haryanti Hassan di Taman Guru, Kuantan. FOTO Asrol Awang
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda (kanan) menyerahkan replika cek daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Zeti Haryanti Hassan di Taman Guru, Kuantan. FOTO Asrol Awang