Nor Fazlina Abdul Rahim


ENAM individu termasuk tiga beranak dan pekerja kedai nasi ayam ditahan kerana bergaduh dipercayai akibat bermain mercun di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, malam kelmarin.

Dalam kejadian 8 malam itu, salah seorang individu berusia belasan tahun dikatakan bermain mercun dan hampir terkena pekerja kedai makan itu lalu berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 13 hingga 47 tahun membabitkan anak beranak serta pekerja di kedai makan berkenaan.

"Pada awalnya tidak timbul isu besar kerana hanya disebabkan seorang bermain mercun dan hampir terkena pekerja kedai nasi ayam, namun berlaku pergaduhan hingga tular di media sosial.

"Akibat pergaduhan itu, ada di kalangan mereka mengalami kecederaan ringan disebabkan ada yang ditampar, ditarik rambut selain dibaling dengan peralatan dapur.

"Kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 1 minit 37 saat tular di media sosial menyaksikan berlaku pergaduhan membabitkan beberapa individu.

Menerusi video berkenaan, seorang lelaki dilihat menampar seorang wanita dan beberapa individu lain yang cuba meleraikan pergaduhan.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya diperbesar-besarkan sehingga berlaku pergaduhan, sebaliknya boleh diselesaikan dengan membuat permohonan maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:35 PM
ANTARA rakaman video yang tular kerana bergaduh.
ANTARA rakaman video yang tular kerana bergaduh.