Ismail Idris yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM430,950 dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini. FOTO IHSAN SPRM
Ismail Idris yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM430,950 dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini. FOTO IHSAN SPRM
Mohd Roji Kawi


MAHKAMAH Tinggi Kuching hari ini, menjatuhi hukuman tiga tahun penjara dan denda RM430,950 terhadap bekas guru besar atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Supang Lian menjatuhi hukuman penjara itu terhadap Ismail Idris berkuat kuasa hari ini selepas rayuan pihak pendakwaan dibenarkan manakala perintah lepas bebas tertuduh diketepikan.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Baxter Micheal.

Berdasarkan fakta kes, pada 20 Jun 2016, pelantikan Jawatankuasa Sebutharga Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah Tan Sri Dr Sulaiman Daud (SK Gita No2) dibuat oleh tertuduh yang ketika itu guru besar sekolah berkenaan bagi melantik pembekal RMT untuk tempoh Julai 2016 hingga November 2016.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemutus diadakan pada 24 Jun 2016 di pejabat Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuching.

Hasil mesyuarat, semua Ahli Jawatankuasa Pemutus yang dilantik memilih Mazuri Katering sebagai pembekal RMT yang baharu mulai 1 Julai 2016 hingga 25 November 2016.

Sebelum pemilihan Mazuri Katering sebagai pembekal RMT yang baharu, pada pertengahan Jun 2016, tertuduh menghubungi pemilik Mazuri Katering yang dikenali sebagai Jimmy dan berjumpa dengan Sharifah Mazuri untuk berbincang bagi mengambil alih pembekalan RMT supaya dilaksanakan oleh syarikat isteri beliau.

Tertuduh menawarkan lima peratus keuntungan kepada Mazuri Katering dan Jimmy serta Sharifah terpaksa akur kerana tender kantin bergantung kepada tertuduh.

Tertuduh juga menjanjikan projek RMT 2017 akan diberikan kepada Mazuri Katering.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 8:21 PM