Tesco menemubual gelandangan untuk peluang pekerjaan.
Tesco menemubual gelandangan untuk peluang pekerjaan.
Mahaizura Abd Malik


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd menyalurkan Zakat Wakalah bernilai RM30,000 kepada 60 rakan sekerjanya yang terkesan dengan Covid-19.

Ia hasil kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Azliza Azmel berkata, inisiatif itu bagi meringankan beban rakan sekerja merangkumi ibu tunggal, pasangan kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, orang kurang upaya (OKU) dan pencari nafkah tunggal keluarga.

Katanya, rakan sekerja yang terpilih ini kebanyakan dari cawangan Tesco dan selebihnya dari Pusat Pengedaran dan Ibu Pejabat Tesco.

"Zakat Wakalah ini dibahagikan dari potongan gaji pekerja Tesco sepanjang tahun.

"Di Tesco, kami percaya setiap bantuan bemakna. Bantuan ini amat penting terutama pada Ramadan dan Syawal pertama yang dihayati semasa pandemik global ini masih berlarutan.

"Ketika kami terus menyumbangkan makanan dan barang keperluan bernilai lebih RM130,000 untuk menyokong komuniti kurang bernasib baik di sekitar cawangan kami beroperasi, kami juga tidak melupakan rakan sekerja kami yang memerlukan sokongan tambahan pada masa sukar ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sehingga Mei Tesco juga mengisi lebih 400 kekosongan pekerjaan dengan sebahagian pekerja sementara diberikan status sepenuh masa.

"Melalui dedikasi dan kerja keras rakan sekerja, kami dapat memastikan pelanggan mendapat apa yang mereka perlukan dalam memenuhi keperluan dan makan kepada keluarga mereka.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Azliza Azmel.
Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Azliza Azmel.

"Walaupun pembelian panik sudah berakhir sekarang, pelanggan masih berbelanja dalam talian dengan lebih banyak daripada yang mereka lakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan adanya rakan sekerja tambahan, kami boleh menyahut cabaran ini secara langsung dan melayani pelanggan kami dengan lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Tesco juga muncul sebagai syarikat yang menyertai Program Penyediaan Kerjaya Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan dalam melatih dan menawarkan pekerjaan kepada gelandangan.

Azliza berkata, setakat ini Tesco sudah menggaji sembilan individu yangdi tempatkan di Pusat Pengedaran Tesco menerusi program itu.

"Kami berharap melalui penempatan dalam rantaian bekalan kami, individu ini dapat memulakan hidup mereka semula, tidak tinggal di jalanan dan memiliki kualiti hidup lebih baik.

"Tesco akan terus menemuduga lebih ramai individu dari program ini dan mengupah mereka yang paling sesuai untuk mengisi kekosongan kerja," katanya.

Tesco menyerahkan surat tawaran kerja kepada gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana.
Tesco menyerahkan surat tawaran kerja kepada gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:12 PM