Muhammad Suhaimi Yahya. FOTO Ihsan Unit Media Bersatu.
Muhammad Suhaimi Yahya. FOTO Ihsan Unit Media Bersatu.
Yusmizal Dolah Aling


SETIAUSAHA Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang mengeluarkan surat menggugurkan keahlian lima pemimpin parti termasuk Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Datuk Marzuki Yahya yang jawatannya sebagai setiausaha agung dipertikaikan, pemecatan itu dibuat kerana Muhammad Suhaimi melanggar etika kerja dan Perlembagaan Bersatu Pindaan 2019 apabila membuat keputusan berhubung pentadbiran parti.

Katanya, Muhammad Suhaimi mengeluarkan surat pemecatan keahlian kepada pemimpin berkenaan tanpa pengetahuan parti dan didakwa tidak merujuk kepadanya terlebih dahulu selaku Ketua Pentadbir Ibu Pejabat dan Setiausaha Agung sah.

"Fasal 8.11 perlembagaan menetapkan kesemua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli adalah di bawah bidang kuasa setiausaha agung,

"Manakala, Fasal 16.6.3 dan 16.6.5 menyatakan setiausaha agung mengelola pentadbiran ibu pejabat parti dan perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli," katanya ketika dihubungi.

Merujuk itu, beliau berkata, Muhammad Suhaimi tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat pemecatan, apatah lagi kepada pengerusi parti.

Konflik dalaman Bersatu, menyaksikan status Marzuki sebagai Setiausaha Agung turut dipertikaikan apabila Presiden Muhyiddin Yassin mengisytihar dirinya sebagai pemangku pengerusi dan menyingkirkan Marzuki daripada jawatan itu pada 18 Mac lalu.

Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya dilantik selaku setiausaha agung yang baharu.

Terdahulu, Muhammad Suhaimi dilapor mengeluarkan surat 'keahlian terhenti serta-merta' kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Datuk Amiruddin Hamzah; Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berita berkaitan

Tun M dipecat dari Bersatu

'Digugurkan keahlian, bukan dipecat'

'Dangkal, tidak munasabah'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 9:47 AM