DATUK Wira Abd Halim Tawil. FOTO AMIR MAMAT
DATUK Wira Abd Halim Tawil. FOTO AMIR MAMAT


JAWATANKUASA masjid di Melaka perlu bersikap adil dalam memilih jemaah kariah masing-masing untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.

Mufti Negeri, Datuk Wira Abd Halim Tawil, berkata penentuan jemaah perlulah adil dengan mengambil kira wakil taman perumahan yang ada dalam kariah masing-masing, wakil surau serta wakil solok.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada 40 jemaah yang terpilih untuk hadir bersolat Jumaat di semua masjid hari ini, supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkanoleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sementara mereka yang belum terpilih untuk menunaikan solat Jumaat minggu ini harap bersabar dan kekal menunggu giliran pada minggu berikutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syarat yang ditetapkan JAIM selepas mendapatkan nasihat KKM adalah setiap jemaah berusia antara 15 hingga 70 tahun, merekodkan kehadiran dan suhu badan, memakai pelitup muka, mengekalkan jarak sosial satu meter antara satu dengan lain termasuk ketika menunaikan solat serta membawa sejadah sendiri dan berwuduk dari rumah.

Jemaah juga perlu sihat, tiada penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, barah atau kencing manis, tidak batuk, demam atau asma serta mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selcius.

Kerajaan Melaka membenarkan solat Jumaat dilaksanakan di negeri itu bermula hari ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 11:37 AM