TIGA warga Rohingya termasuk seorang wanita yang juga saki baki geng 'Tailong' ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah sekitar daerah Kulai sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata suspek berumur lingkungan 27 tahun hingga 30 tahun itu ditahan hasil enam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota di sekitar Kulai dan Johor Bahru, Rabu lalu dari 8.15 malam hingga 2 pagi.

Katanya dalam serbuan itu pelbagai barangan dirampas termasuk barangan kemas, komputer riba, jam tangan serta bag tangan termasuk kereta kereta Perodua Myvi serta motosikal jenis Yamaha yang dianggarkan berjumlah RM100,000.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam 15 kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra, di sini. Dengan modus operandi menggunakan kereta Myvi hitam, memanjat pagar dan mengumpil pintu untuk mencuri barang. Geng ini turut mensasarkan rumah yang tidak berpenghuni bagi menjalankan kegiatan mereka.

"Kita percaya mereka ini ada kaitan dan saki baki geng 'Tailong' yang juga warga Rohingya melakukan kegiatan sama yang ditahan pada bulan lalu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas juga tiga lelaki warga Rohingya yang dikenali dengan nama Rahman, Hassan dan Baya lingkungan umur 20an. Kita percaya geng terbabit sudah lama menetap di negara ini kerana mereka fasih berbahasa kebangsaan", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kulai, hari ini.

 TIGA SUSPEK diburu. FOTO OMAR AHMAD
TIGA SUSPEK diburu. FOTO OMAR AHMAD

Jelas Beng Yeow, permohonan reman dibuat terhadap tiga suspek dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Mei hingga 3 Jun depan.

"Kita meminta orang ramai yang rumah mereka ada terjadi unsur pecah rumah sila ke Balai Polis untuk membuat laporan. Saya percaya ada penghuni yang menjadi mangsa pecah rumah tetapi belum pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 12:35 PM
TOK Beng Yeow (tengah) menunjukkan barang rampasan dari Geng Tailong. FOTO OMAR AHMAD
TOK Beng Yeow (tengah) menunjukkan barang rampasan dari Geng Tailong. FOTO OMAR AHMAD