BURUNG Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria cinerea’ yang diancam kepupusan berjaya dibiakkan melalui program pembiakan spesis terancam yang dijalankan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). FOTO ihsan ZTNS
BURUNG Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria cinerea’ yang diancam kepupusan berjaya dibiakkan melalui program pembiakan spesis terancam yang dijalankan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). FOTO ihsan ZTNS
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PROGRAM pembiakan spesis terancam yang dijalankan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menampakkan hasil apabila berjaya membiak burung Botak Upeh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kejayaan itu berdasarkan pemerhatian terhadap empat daripada 12 sarang burung itu atau nama saintifiknya 'Mycteria Cinerea' di dalam pameran Hutan Tebing Sungai.

Katanya, bilangan anak burung berkenaan yang baru menetas masih belum dikenal pasti.

"Program konservasi burung Botak Upeh di ZTNS bermula sejak 2005 lalu di mana kita menerima dua ekor induk asal dari Taman Burung Jurong, Singapura sebelum disusuli penghantaran terakhir dari Zoo Negara sebanyak 10 ekor pada 2009.

"Sebanyak dua daripada tujuh sarang burung Botak Upeh yang dibina di atas pokok tinggi menunjukkan 20 anak burung itu yang baru menetas dilepaskan dalam kawasan zoo (free raging)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebelum penetasan terbabit, terdapat 36 ekor burung berkenaan ditempatkan dalam kurungan dengan 20 ekor lagi dibiarkan bebas secara 'free raging' dalam zoo berkenaan.

Difahamkan, sebanyak lima lagi sarang burung itu terdapat di luar pameran Hutan Tebing Sungai dalam kawasan zoo terbabit.

Sementara itu, Pengarah Zoo Taiping, Dr Kevin Lazarus dalam kenyataan sama berkata, sebanyak dua program pelepasan burung berkenaan dilakukan pada 2016 dan 2017 membabitkan jumlah pelepasan iaitu masing-masing sebanyak 10 serta empat ekor.

Katanya, daripada jumlah yang dilepaskan, sebanyak enam ekor lagi anak burung berkenaan berjaya dibiakkan dalam kawasan zoo pada 2018 serta 2019.

"Burung yang dianggap spesis terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) itu kini hidup bebas termasuk di luar kawasan sekitar ZTNS selepas habitatnya di hutan paya bakau Kuala Gula, Perak terganggu oleh aktiviti manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:18 PM