X
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg
Mohd Roji Kawi


SARAWAK melancarkan aplikasi COVIDTrace dan QMUNITY yang dicipta khusus bagi mengesan kontak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, aplikasi COVIDTrace dibangunkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi mengesan kontak dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

Beliau berkata, aplikasi QMUNITY pula dibangunkan khusus untuk penggunaan perniagaan dengan pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR bagi menyimpan data.

"Sejak Covid-19 melanda, masyarakat semakin menyedari kepentingan teknologi digital.

"Sarawak mengambil langkah yang tepat kerana kita sudah beralih kepada ekonomi digital sejak tiga tahun lalu," katanya ketika berucap melancarkan aplikasi itu di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Masing, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Kedua-dua aplikasi itu yang memberi manfaat bagi membantu membendung Covid-19 boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store.

Aplikasi COVIDTrace dibangunkan kerajaan negeri menerusi SMA dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).

Aplikasi QMUNITY pula dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama JT Utama Sdn Bhd, ARx Media Sdn Bhd dan Huawei Cloud.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:21 PM