Md Nasir Hashim.
Md Nasir Hashim.


SEPULUH daripada 26 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor menyokong keputusan pengguguran keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor Senator Md Nasir Hashim berkata, ia sekali gus menyokong kepimpinan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pengguguran secara automatik ke atas keahlian adalah mengikut buku perlembagaan parti fasal 10.2.3.

"Saya ada hubungi 10 ketua bahagian Bersatu dan mereka menyatakan sokongan terhadap pengguguran lima pemimpin ini.

"Baki 16 ketua bahagian Bersatu belum saya hubungi namun saya yakin, mereka juga menyokong berdasarkan sokongan yang dinyatakan mereka terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Johor Bahru, Larkin di sini, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat berkuatkuasa serta merta.

Selain Dr Mahathir, empat lagi yang dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:28 PM