X
Ruwaida Md Zain


WANITA warga emas kerugian kira-kira RM60,000 selepas ditipu kekasih alam maya yang dikenali melalui Facebook yang kononnya berada di Switzerland baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa yang berusia 60 tahun dan belum berkahwin itu mengenali 'kekasihnya' itu dan menjalin hubungan cinta alam maya kira-kira dua bulan sebelum menyedari ditipu suspek.

"Sepanjang tempoh perkenalan mereka, pelbagai janji manis ditabur oleh suspek yang dipercayai didalangi sindiket warga Nigeria.

"Suspek kononnya, menjanjikan barangan berharga seperti emas, beg tangan, wang tunai yang akan dihantar oleh suspek sebagai hadiah tanda cinta kepada mangsa.

"Mangsa yang termakan kata-kata manis itu diperdaya untuk menyerahkan atau membuat pembayaran wang kepada ejen kurier sebagai wang proses untuk memudahkan melepaskan barangan yang ditahan pihak berkuasa," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tetap tidak menerima barangan berkenaan selepas beberapa transaksi pembayaran dilakukannya.

"Mangsa menyedari ditipu selepas kehabisan wang simpanan untuk membuat transaksi seterusnya dan kemudiannya membuat laporan polis pada 23 Mei lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Shah Alam melalui operasi 'Ops Tiong' berjaya menahan lima lelaki warga Nigeria yang dipercayai terbabit dengan kegiatan sindiket 'Parcel Scam'.

"Polis menjalankan siasatan terhadap mereka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda, sebat dan penjara boleh sampai 10 tahun," katanya.

Menurutnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:32 PM
ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar