Jasnih (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Othman Ali di Kampung Sungai Damit, Membakut. - FOTO / BERNAS
Jasnih (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Othman Ali di Kampung Sungai Damit, Membakut. - FOTO / BERNAS
Juwan Riduan


SYARIKAT Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran, Allahyarhamah Aisah Jumat, 58, yang juga kakitangan BERNAS, semalam.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Jabatan Perhubungan dan Pihak Berkepentingan Bernas (Sabah) Jasnih Daya, kepada suami mangsa, Othman Ali, 64, di Kampung Sungai Damit di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Kelab Bernas Malaysia Cawangan Sabah Hervian Kirman.

Jasnih berkata, pengurusan BERNAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Othman Ali di atas pemergian isteri dan empat anaknya dalam kejadian berkenaan.

"Bagi pihak seluruh kakitangan BERNAS, kami amat berdukacita di atas kejadian ini dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

"Sesungguhnya berat mata kami memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul," katanya.

Aisah bersama empat anaknya meninggal dunia selepas rumah mereka di Kampung Binsuluk, Membakut terbakar pada 1 Syawal.

Selain Aisah, Dzulkarnain, 32, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26, dan Rosdi, 24, turut meninggal dunia.

Othman dan dua anaknya yang lain hanya cedera ringan.

Sementara itu, Jasnih berkata, Aisah berkhidmat dengan BERNAS selama 36 tahun sejak 1984.

"Kami kehilangan seorang kakitangan yang rajin dan komited dengan tugasnya. Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh warga kerja BERNAS di Sabah," katanya.

Selain sumbangan wang ringgit, BERNAS turut menyampaikan sumbangan beras dan barangan keperluan dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:33 PM