Lim Yi Wei.
Lim Yi Wei.
Sri Ayu Kartika Amri


"ISU gangguan seksual dan buli siber sepatutnya dipandang berat tanpa mengira sama ada sasarannya orang awam ataupun wakil rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tungku, Lim Yi Wei.

Beliau ditemui di Balai Polis Petaling Jaya, di sini, hari ini selepas membuat laporan polis berhubung ugutan rogol dan gangguan seksual yang dibuat terhadap dirinya.

Menurutnya, beliau bersama Wanita DAP serta ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin sudah membuat laporan polis mengenai ugutan itu termasuk ugutan bunuh menerusi akaun Facebook Jamaliah oleh seorang pengguna Facebook baru-baru ini.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan termasuk pemimpin Pakatan Harapan serta Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong yang turut menjadi mangsa ugutan rogol bulan lalu.

"Juga tidak dilupakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas mereka kerana berjaya menangkap suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, dalam kenyataan dikeluarkan semalam, memaklumkan suspek berusia 40 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 12.50 tengah hari, semalam.

Katanya, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan satu laporan polis oleh Jamaliah berhubung ugutan yang diterimanya itu pada 22 Mei lalu.

Menerusi siasatan awal, suspek mengaku membuat komen berbaur ugutan itu terbabit serta satu lagi kes ugutan yang diterima Ketua Pemuda MCA (Nicole).

Menurutnya, kkes disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, Seksyen 509, Kanun Keseksaan, Seksyen 292, Kanun Keseksaan serta Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Nik Ezanee berkata, lelaki terbabit yang mempunyai kad kelainan upaya (OKU) dan masih menjalani rawatan psikiatri di hospital sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:02 PM