Foto hiasan.
Foto hiasan.
BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan terkhilaf apabila memutuskan kes warganegara Australia Maria Elvira Pinto Exposto adalah kes biasa membabitkan keldai dadah yang tidak mewajarkan pembelaan pembawa yang tidak bersalah, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat bertarikh 26 Mac, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata mahkamah rayuan turut terkhilaf apabila memutuskan tingkah laku tidak bersalah ditunjukkan Exposto adalah untuk mengelak daripada dikesan.

Beliau juga berkata fakta kes tidak mewajarkan penggunaan doktrin kejahilan undang-undang terhadap Exposto dan menurutnya wanita itu tidak boleh dikatakan 'tutup mata' terhadap apa yang nyata apabila sebenarnya tiada apa pun atau yang mencurigakan sejak awal lagi.

Hakim Tengku Maimun berkata Mahkamah Rayuan juga gagal menerima hakikat bahawa Exposto ialah mangsa penipuan cinta internet dan beliau diperdayakan oleh seseorang dikenali sebagai Kapten Daniel Smith dikenalinya selama dua tahun menerusi internet.

Beliau berkata keseluruhan keterangan menunjukkan Exposto jatuh cinta pada Smith dan beliau mempercayai lelaki itu sepenuhnya sehinggakan tidak sedar dirinya dari awal lagi menjadi mangsa penipuan kewangan dan kemudiannya menjadi mangsa skim penipuan terancang iaitu diminta membawa dadah rentas sempadan.

Pada 26 November tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Tengku Maimun melepas dan membebaskan Exposto, 56, daripada pertuduhan mengedar 1142.8 gram methamphetamine.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Exposto untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasannya.

Exposto dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2017.

Mahkamah Rayuan pada 2018 mensabitkan Exposto dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ibu empat anak itu dituduh mengedar dadah di ruang 1 pemeriksaan penumpang di balai ketibaan antarabangsa di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.40 petang, 7 Disember, 2014.

Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun juga berkata hakim perbicaraan membuat keputusan betul bahawa tingkah laku Exposto adalah konsisten dengan perlakuan orang yang tidak bersalah.

Beliau berkata mahkamah mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila mengubah dapatan hakim perbicaraan.

Katanya, mahkamah rayuan gagal menerima pembelaan yang sabitan itu tidak kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:20 PM