X
Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Baharudin Mat Taib (dua dari kiri) menunjukkan barang milik suspek tangkapan kes parcel scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


SEBANYAK 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan topeng muka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dari jumlah itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes daripada 18 kes yang disiasat.

Menurutnya, jumlah 18 kes yang disiasat sepanjang tempoh tiga bulan itu membabitkan kerugian sebanyak RM789,125.50.

"Polis banyak menerima laporan polis berkaitan kes ini di mana, mangsa di dalam kes ini berurusan dengan suspek melalui iklan disiarkan oleh suspek melalui media sosial seperti Facebook.

"Mangsa kononnya ditawarkan harga jualan rendah bagi sekotak topeng muka dan pada awalnya teruja dengan tawaran itu membuat tempahan dengan kuantiti banyak membabitkan amaun puluhan ribu," katanya pada sidang media di IPD Shah Alam di sini hari ini.

Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu oleh suspek apabila tidak menerima topeng muka ditempah seperti yang dijanjikan.

"Susulan laporan mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Risikan dan Operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil menjalankan operasi dan berjaya menangkap kira-kira lima suspek bagi membantu siasatan.

"Hasil kejayaan tangkapan yang dijalankan itu, polis berjaya menuduh kesemua suspek yang ditangkap sekaligus berjaya menyelesaikan lima dari 18 kes itu," katanya.

Baharudin juga berkata, pihaknya kesal ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kesempatan pihak lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

"Sepanjang PKP, pelbagai pihak terjejas dari sudut pendapatan harian mahupun pekerjaan.

"Daripada kesempitan yang dialami itu, pelbagai pihak berusaha untuk mencari peluang menambahkan pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP ini.

"Tetapi malangnya, ada juga segelintir pihak mengambil kesempatan dengan menjalankan kegiatan penipuan sebagai jalan mudah dan pantas untuk mendapat sumber kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:48 PM