TIGA individu dikompaun ingkar PKPB.
TIGA individu dikompaun ingkar PKPB.
BERNAMA

PENGANTIN lelaki antara tiga individu dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas terbabit dalam upacara perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Serdang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan dalam kenyataan hari ini, berkata siasatan kes berkenaan sudah selesai selepas mengambil keterangan semua pihak berkaitan dengan majlis berkenaan.

Menurutnya, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor pada Rabu lalu, dan arahan kompaun ke atas pengerusi dan sami kuil serta pengantin lelaki dibuat pada 2.30 petang tadi.

Ahad lalu, tular sebuah video menunjukkan sebuah kuil di Serdang dikunjungi hampir 100 orang dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung wabak Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ismadi berkata, polis menahan reman lapan suspek yang terbabit dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan penunda kenderaan di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

"Enam suspek direman empat hari, sementara dua lagi direman dua hari. Polis masih menjalankan siasatan lanjut sementara baki suspek kini sedang giat dikesan," katanya.

Dalam insiden kira-kira 2 petang itu, dua kumpulan terbabit bergaduh kerana berebut pelanggan.

Dalam pada itu, Ismadi memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan berhubung penemuan mayat lelaki gelandangan di Hentian Bas Taman Sungai Besi Indah, Serdang pada Isnin lalu.

"Suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 8:21 PM