SEBAHAGIAN individu dikehendaki yang dipaparkan pada sidang media polis, semalam. FOTO Faiz Anuar.
SEBAHAGIAN individu dikehendaki yang dipaparkan pada sidang media polis, semalam. FOTO Faiz Anuar.
Ruwaida Md Zain


POLIS Selangor memburu 40 individu bagi membantu siasatan membabitkan kes tipu, pecah amanah dan pemalsuan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mereka yang diburu babitkan 32 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

"Mereka disenaraikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) sebagai Orang Dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah komersil dalam tempoh 2011 sehingga 2019.

"Ia juga diletakkan dalam pangkalan data untuk memudahkan pengesanan dan bantuan orang ramai sangat diperlukan bagi memberkas mereka," katanya kepada media.

Baharudin berkata, semua suspek dikenal pasti penganggur, bekerja sendiri dan kakitangan swasta.

Menurutnya, 27 suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sembilan orang disiasat Seksyen 408 Kanun Keseksaan, Seksyen 407 Kanun Keseksaan (dua) dan masing-masing seorang bagi Seksyen 406 dan Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan.

"Gambar mereka dipaparkan di Facebook rasmi Polis (IPD) Shah Alam untuk hebahan umum dan orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Aimi Azieda di talian 013-2625343 atau mana-mana balai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 9:48 AM