GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


HAMPIR tiga minggu berada dalam zon hijau, Kuala Langat kini diletakkan di bawah zon kuning berikutan tambahan 20 kes baharu Covid-19 semalam.

Pertambahan membabitkan mukim Tanjung 12 (2) sekali gus melebur rekod zon hijau yang dipegang daerah itu sejak 8 Mei lalu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua pesakit adalah pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di Kuala Langat.

"Kekalkan disiplin (patuh arahan) kerana virus Covid-19 masih di sekitar kita," katanya menerusi Twitter hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pertambahan 28 kes baharu direkodkan semalam bagi negeri itu, berbanding hanya dua kes kelmarin.

"Ia membabitkan 24 kes tempatan dan empat kes import, manakala satu kluster baharu di Kuala Langat. Setakat ini tiada tambahan kes di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan KLIA, mahupun kematian," kata kenyataan itu.

Perkembangan itu menjadikan jumlah terkumpul cecah 1,873 kes, dengan 1,516 kes sembuh, 262 kes aktif dan kematian kekal 22 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 10:11 AM