POLIS menggunakan helikopter untuk memantau pematuhan SOP PKPB dari udara. FOTO ihsan Polis Melaka.
POLIS menggunakan helikopter untuk memantau pematuhan SOP PKPB dari udara. FOTO ihsan Polis Melaka.
Nazri Abu Bakar


POLIS mengambil langkah proaktif membuat tinjauan udara menerusi kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi melihat tahap pematuhan penduduk di Melaka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pasca Aidilfitri.

Polis dalam kenyataan berkata, helikopter jenis Agusta AW 139 digunakan bagi melihat tahap pematuhan PKPB menerusi udara di negeri berkenaan semalam.

Katanya, Ketua Polis Negeri, Datuk Mat Kasim Karim mengetuai misi terbabit termasuk meninjau tahap pematuhan solat Jumaat yang mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Selain itu, tinjauan dilakukan bagi memastikan masyarakat patuh arahan PKPB menerusi pemantauan di jalan utama serta antara negeri.

"Polis merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai di Melaka yang sentiasa memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sehingga PKPB dilaksanakan," katanya.

Justeru, menjadi harapan orang ramai sentiasa patuh kepada prosedur standard operasi (SOP) sepanjang PKPB.

Dalam masa sama pihaknya memohon semua bersama-sama berdoa semoga rantaian penularan Covid-19 ke tahap sifar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:15 AM