X
Zuliaty Zulkiffli


NELAYAN dilaporkan hilang selepas bot fiber dinaikinya ditemui tanpa pengemudi di muara Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Langkawi (MRSC) melancarkan operasi dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat dari Jabatan Laut Kuala Kedah jam 5 petang semalam.

Mangsa, Nordin Saad, 52, dilaporkan keluar ke laut seorang diri pada jam 7 pagi semalam untuk menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

"Maritim Malaysia menggerakkan sebuah bot Kilat ke kawasan dilaporkan untuk melaksanakan operasi SAR sejurus menerima laporan petang semalam.

"Bot mangsa ditemui dalam keadaan masih berpusing tanpa pengemudi," katanya hari ini.

Mahmad Faizal berkata, bot itu dibawa ke jeti berhampiran dan diserahkan kepada waris mangsa.

Beliau berkata, operasi SAR disambung semula pagi ini membabitkan anggota dan aset dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan.

Mahmad Faizal berkata, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:25 AM
BOT fiber milik Nordin ditemui tanpa pengemudi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT fiber milik Nordin ditemui tanpa pengemudi. FOTO ihsan Maritim Malaysia