GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


KAWASAN Gunung Keriang, Alor Setar diisytihar sebagai kawasan wabak denggi selepas 11 kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti terbabit bermula 20 Mei lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata situasi wabak di kawasan itu bagaimanapun masih terkawal.

Katanya, aktiviti kawalan wabak dilaksanakan di Gunung Keriang sejak 20 Mei lalu membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan kepada penduduk setempat.

"Sebanyak 176 premis sudah diperiksa dan 14 kompaun berjumlah RM7,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"JKN mendapati tahap kesedaran tentang bahaya dan pencegahan penyakit denggi masih kurang di kalangan penduduk setempat.

"Ini berikutan, pihak kami menjumpai banyak bekas takungan air di luar dan dalam rumah seperti tong, baldi dan kolah mandi yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Fikri berkata sebanyak 399 kes denggi dicatatkan di Kedah bermula Januari sehingga semalam.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi itu menurun sebanyak 52.6 peratus atau 443 kes berbanding 842 kes tempoh yang sama tahun lalu.

"Setakat ini tiada kematian akibat demam denggi dilaporkan di Kedah. Masyarakat perlu mengunakan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) duduk di rumah dengan menjaga kebersihan dalam dan sekitar rumah.

"Semua tempat pembiakan Aedes perlu dihapuskan sekali gus dapat mengamalkan amalan kebersihan yang baik seperti prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh kerajaandalam menangani Covid-19,"katanya.

Dalam masa yang sama katanya, aktiviti kawalan vektor, pemantauan kes dan siasatan lanjut akan

terus dijalankan di kawasan yang dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:54 AM