PONDOK yang menjadi tempat berteduh Fikri Abu Bakar dan keluarga di Kampung Seperi Tengah, Kuala Klawang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PONDOK yang menjadi tempat berteduh Fikri Abu Bakar dan keluarga di Kampung Seperi Tengah, Kuala Klawang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


BIMBANG menyebarkan penyakit dihidapinya kepada orang lain, seorang lelaki memutuskan untuk tinggal berjauhan daripada penduduk kampung dengan membina sebuah pondok di Kampung Seperi Tengah, Kuala Klawang di Jelebu.

Fikri Abu Bakar, 51, berkata, dia sudah tinggal di pondok berkenaan bersama isteri dan anaknya sejak setahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit batuk kering atau tibi.

Menurutnya, biarpun sudah beransur pulih dia masih perlu menjalani pemeriksaan di hospital bagi memastikan bebas sepenuhnya daripada penyakit berkenaan.

Bercerita lanjut, Fikri berkata, dia turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 sejak lapan bulan lalu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan.

"Malah pihak Baitulmal turut memberi mesin pemotong rumput dan pam racun bagi membolehkan saya mengambil upah membuat kerja pembersihan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Fikri berkata, bagi menyara keluarganya, dia mengambil upah dalam kerja pembinaan, pendawaian elektrik dan pembersihan berikutan mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Jelebu, Azmi Selamat berkata, sebuah rumah akan dibina menerusi peruntukan parlimen Jelebu diatas tanah berkenaan.

"Kita berharap, tiga beranak berkenaan dapat menjalani kehidupan lebih selesa selepas ini. Kerja awal tapak sudah dimulakan dan rumah berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan," katanya.

Terdahulu, Pengerusi UDA Holdings yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias turut melawat keluarga berkenaan dan meninjau kerja awal pembinaan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 2:38 PM