GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan


JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan tiga kes Covid-19 baru di negeri ini membabitkan kes di Johor Bahru setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, tiga kes itu membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh.

Katanya, bagi kes ke-672, pesakit adalah lelaki berumur 66 tahun yang disahkan positif semasa rawatan untuk penyakit barah.

"Kes ke-672 sudah dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bagi tujuan rawatan dan pengasingan. Sejarah pergerakan dan kontak pesakit masih lagi dalam siasatan.

"Kes ke-673 pula membabitkan lelaki berumur 58 tahun dan bekerja di kapal di sebuah syarikat perkapalan sejak November 2019. Kes dikesan semasa saringan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru apabila pesakit itu menjalani prosedur untuk turun dari kapal di pintu masuk antarabangsa.

"Sebanyak 33 kontak rapat bagi kes ke- 673 disaring dan sedang menjalani kuarantin di atas kapal selama 14 hari. Keputusan saringan kontak masih belum diperoleh.

"Pesakit berkenaan dimasukkan ke Hospital Permai bagi rawatan dan pengasingan," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Manakala bagi kes ke-674, Vidyananthan berkata, ia membabitkan lelaki warga Bangladesh yang dikesan positif semasa saringan pekerja industri dijalankan oleh pihak majikan.

"Seramai 216 pekerja lain di industri berkenaan disaring pada hari sama dan keputusannya adalah negatif. Pesakit dimasukkan ke HEBHK bagi rawatan dan pengasingan," katanya.

Untuk rekod, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Johor adalah 674 kes.

Daripada jumlah itu, 31 kes adalah kes aktif. Tiada kes kematian baru direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian negeri ini kekal 19 orang.

Manakala bagi jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah 624 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 3:10 PM