Murni Wan Omar dan Raja Noraina Raja Rahim


SERAMAI 471 individu dikenakan kompaun oleh polis atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 300 kompaun dikeluarkan di balai polis termasuk satu kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri yang memasuki hari keenam Syawal semalam.

Selain itu, katanya sebanyak 171 kompaun lagi dikeluarkan di lapangan termasuk dalam sekatan jalan raya.

"Sekali lagi saya ingatkan pemantauan akan terus dilakukan pihak berkuasa dan tindakan juga pasti akan diambil jika berlaku keingkaran kepada SOP (prosedur operasi standard) serta peraturan PKPB," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 147 sekatan jalan raya rentas negeri dilakukan semalam dan memeriksa 240,268 kenderaan.

Menurut beliau, dalam pemeriksaan itu seramai 114 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKPB dan daripada jumlah itu, 108 direman manakala enam diberi jaminan polis.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 71,830 pemeriksaan dan pemantauan dilakukan di premis perniagaan, restoran, kilang dan bank di seluruh negara.

Katanya, tindakan pemantauan itu membabitkan 3,712 pasukan dengan kekuatan 19,688 anggota.

SEKATAN Jalan Raya (SJR) susur keluar sebelum tol Sungai Besi. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.
SEKATAN Jalan Raya (SJR) susur keluar sebelum tol Sungai Besi. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 4:29 PM