Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Rosyahaida Abdullah


KIRA-KIRA 95 peratus daripada setiap ujian pengesanan Covid-19 yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini adalah negatif, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkembangan itu secara tidak langsung menunjukkan Malaysia menghampiri fasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang lebih baik.

"Jika kita lihat kepada penggunaan katil di hospital bagi tujuan rawatan untuk pesakit Covid-19 pada ketika ini juga tidak pun mencecah 15 peratus.

"Malah, jika dulu penggunaan unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 melebihi 100 katil, pada hari ini hanya sembilan pesakit berada ICU," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, fasiliti kesihatan negara ketika ini dilengkapi 1,090 alat bantuan pernafasan sebagai persediaan merawat pesakit Covid-19, namun sehingga hari ini hanya dua pesakit memerlukan penggunaannya.

"Saya kira semua ini adalah disebabkan tindakan kesihatan awam kita yang mantap, satu pujian untuk mereka yang melaksanakan tugas dengan baik.

"Jadi, kita melihat kebolehan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, mungkin memakan masa sedikit lagi," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 7:48 PM