X
POLIS melakukan pemeriksaan ketika Op Mabuk, hari ini. FOTO Ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan ketika Op Mabuk, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI enam individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dijalankan di lima lokasi di Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Dalam operasi yang bermula pada 12 tengah malam dan berakhir 3 pagi itu, seramai 184 pengguna jalan raya diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu yang ditahan berusia 21 hingga 47 tahun.

"Mereka ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi kadar yang ditetapkan.

"Hasil tinjauan yang dilakukan sepanjang operasi itu mendapati masih ramai pengguna yang memandu dan menunggang di bawah pengaruh alkohol," katanya kepada media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, fokus utama operasi berkenaan dijalankan bertujuan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Operasi seperti ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 8:43 PM