GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Rosyahaida Abdullah


TIGA rakyat Malaysia yang baru pulang dari United Kingdom, Arab Saudi dan Belanda dikesan positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes import sebanyak 472 kes dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga individu itu juga antara 45,383 rakyat Malaysia yang sudah menjalankan saringan selepas pulang dari luar negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Terdapat 472 kes positif dalam kalangan rakyat Malaysia pulang dari luar negara, termasuk pertambahan tiga kes baharu hari ini.

"Seramai 35,615 pula sudah tamat tempoh kuarantin selamat 14 hari," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster masih aktif jangkitan Covid-19 iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur, Kampung Sungai Lui dan Pedas.

Beliau berkata, tapak pembinaan mencatatkan peningkatan 12 kes baharu menjadikan keseluruhan 61 kes positif setakat hari ini.

Katanya, dua lagi kluster masing-masing mencatatkan peningkatan dua kes baharu menjadikan 208 kes di Kampung Sungai Lui dan 219 kes di Pedas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 9:43 PM