X
DR Mahathir dan Muhyiddin. FOTO Arkib NSTP
DR Mahathir dan Muhyiddin. FOTO Arkib NSTP
Togi Marzuki


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pontian menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan kesal terhadap perlucutan jawatan bekas Pengerusi parti dan empat lagi pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Ketua BERSATU Bahagian Pontian, Senator Datuk Isa Hamid berkata, pemimpin BERSATU seharusnya perlu berbincang bagi mengelakkan krisis dalaman yang hanya akan melemahkan parti berkenaan.

Katanya, BERSATU Bahagian Pontian berpandangan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU disalah tafsir dan tidak boleh digunakan untuk melucutkan keahlian lima pemimpin terbabit.

"Kedudukan mereka di dalam blok pembangkang di Dewan Rakyat adalah perkara berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai menyertai parti lain.

"Ini kerana keahlian parti dan keahlian Dewan Rakyat adalah dua perkara berbeza. Maka fasal 10.2.3 tidak boleh dipakai dalam situasi ini.

"Sudah pasti kami di peringkat akar umbi mahu lihat Dr Mahathir dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersatu semula demi parti yang amat kami sayangi ini," katanya pada sidang media di Pontian, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Md Nasir Hashim dilaporkan berkata, 10 ketua bahagian di Johor menyokong keputusan parti melucutkan keahlian Dr Mahathir serta empat lagi pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pontian, Matharuzaman Ahmad pula berkata, kenyataan Md Nasir semalam tidak boleh dianggap sebagai pendirian BERSATU negeri Johor.

Katanya, Md Nasir sewajarnya tidak mendahului Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Johor, Mazlan Bujang dalam membuat kenyataan membabitkan sokongan ketua bahagian BERSATU di negeri ini.

Katanya, tindakan itu hanya akan memecahbelahkan BERSATU Johor dan dilihat akan mewujudkan jurang perbezaan pandangan dalam kalangan kepimpinan tertinggi negeri, bahagian serta cawangan.

"Sepatutnya Mazlan Bujang yang beri kenyataan supaya akar umbi tidak tertanya-tanya tentang pendirian BERSATU Johor tentang krisis yang berlaku.

"Ini kerana dua pemimpin tertinggi BERSATU yang dipecat itu dari Johor iaitu Ketua Bahagian BERSATU Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ketua Bahagian BERSATU Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya.

Berita berkaitan

'Selamat maju jaya Tun' - Muhyiddin [METROTV]

'Tun M arah saya kurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP'

'Saya hanya jalankan tugas, bukan memandai-mandai' - Muhammad Suhaimi

Tun M nak pecat Muhyiddin

'Dia tak ada hak pecat saya' - Tun M

Nak pecat, saya tunggu di pejabat - Tun M

Pemecatan Dr Maszlee tak ikut perlembagaan parti

Muhammad Suhaimi pula dipecat

Saya berserah - Syed Saddiq

'Dangkal, tidak munasabah'

'Digugurkan keahlian, bukan dipecat'

Tun M dipecat dari Bersatu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 9:58 PM