X
BALIK PULAU 30 MEI 2020. Sebahagian daripada 22 individu termasuk seorang pemilik tapak jualan durian, dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sungai Pinang, hari ini. FOTO IHSAN POLIS
BALIK PULAU 30 MEI 2020. Sebahagian daripada 22 individu termasuk seorang pemilik tapak jualan durian, dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sungai Pinang, hari ini. FOTO IHSAN POLIS
Zuhainy Zulkiffli


SERAMAI 22 individu yang asyik menikmati durian bersama pemilik tapak jualan dikenakan kompaun berikutan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Balik Pulau, hari ini.

Kesemua individu berusia 30 hingga 64 tahun yang diambil tindakan di tapak jualan durian di Sungai Pinang itu termasuk beberapa individu bergelar Datuk.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, kesemua individu itu dikenakan tindakan pada 6.30 petang hari ini.

Katanya, polis yang menjalankan rondaan mendapati kesemua individu terbabit duduk berkumpul sambil menikmati durian berkenaan.

"Anggota yang bertugas kemudian memperkenalkan diri dan meminta kesemua individu itu menunjukkan kad pengenalan diri.

"Daripada kesemua yang dikenakan kompaun, dua daripadanya adalah wanita," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati beberapa daripada pelanggan terbabit bergelar Datuk.

Katanya, pemilik tapak jualan durian yang juga lelaki berusia 54 tahun turut diberi penerangan mengenai kesalahan yang dilakukan.

"Mereka dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) kerana duduk berkumpul," katanya .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 10:48 PM